Kalau bukan kerana graduasi anak, tidak mungkin saya memilih US sebagai destinasi pelancongan. Pertama, faktor logistik. Kedua, US sinonim dengan kemodenan dan kos hidup yang tinggi serta tukaran mata wang yang jauh lebih tinggi dari RM. Faktor-faktor yang tidak menggalakkan free and easy travelling.
Menghabiskan 12 hari di US melawat 4 bandar di 3 buah negeri dengan terbang merentasi benua Amerika Utara sebenarnya adalah pengalaman yang menyeronokkan. Jujurnya saya tidak mengira secara terperinci perbelanjaan yang saya gunakan di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, tiada aset yang perlu dijual untuk melunaskan bil-bil kad kredit apabila balik ke Malaysia :)
Menurut cadangan anak menaiki Emirates Airlines adalah pilihan yang tepat. Kerana saya membuat perancangan awal dan menempah tiket hampir 2 bulan sebelum tarikh berlepas, saya mendapat window seat dalam setiap penerbangan. 4 penerbangan dan 2 di antaranya menaiki Airbus 380.
Saya memulakan perjalanan selepas menjalankan tanggung jawab mengundi di PRU 13. Walaupun secara teknikal saya berlepas dari KLIA pada Ahad jam 19:30 dan mendarat di JFK Airport Isnin jam 8:25, realitinya hampir 26 jam saya merentasi benua dan lautan dengan hanya lebih kurang 4 jam transit di Dubai.
New York City adalah bandaraya moden dengan bangunan mencakar langit. Saya dan anak menghabiskan 2 hari 2 malam melawat beberapa tempat menarik. Hari Rabu kami mengambil penerbangan ke Nashville. Transit di Washington DC delay berganda-ganda jam. Banyak masa terbuang berkurung dalam airport yang sangat sejuk walau pun musim panas telah bermula. Sebaik sampai di Nashville anak sibuk mengikuti program graduasinya tetapi sempat juga bershopping di Lebanon Premium Outlet dan beberapa shopping complex berdekatan.
Hari Sabtu kami mengambil penerbangan pagi ke San Francisco. Semua penerbangan domestik di US mengenakan bayaran $25 bagi setiap check in luggage. Oleh itu saya mesti mengawal nafsu bershopping supaya tidak menambah bilangan beg sehingga destinasi terakhir.
Perjalanan ke San Fran agak membosankan kerana tiada sebarang inflight entertainment. Transit di Los Angeles juga tiada apa yang menarik. Semasa merancang perjalanan, anak ada mencadangkan agar kami berkereta selepas meninggalkan Nashville, tetapi masa kurang 2 minggu adalah tidak mencukupi untuk merentangi separuh benua. Target utama anak adalah menggunakan kamera baru hadiah graduasi untuk mengambil sebanyak boleh gambar waktu siang-malam-pagi-petang di Disneyland. Oleh itu 5 hari diperuntukkan di Los Angeles dengan 3 hari 3 malam di Disneyland!!
Walau bagaimana pun anak cukup bertimbang rasa bila berusaha mencari tempat yang mama dia suka pergi; selain premium outlets tentunya. Di San Fran kami mengambil kesempatan memandu Mercedes SUV yang selesa ke Sonoma Country. Pemandangan kampung di California menarik hati saya. Saya melihat luasnya ladang anggur dengan pokok yang disusun cantik saujana mata memandang.
Di Los Angeles anak membawa saya merentasi gurun mencari Joshua Tree National Park. Berkereta tentunya. Los Angeles adalah bandar paling panas di sepanjang saya berada di US. Lawatan ke Joshua Tree pula adalah gantian kepada Grand Canyon yang tidak dapat kami selitkan itenerinya atas faktor masa. Begitu pun anak berkali-kali meminta saya bersetuju berkereta ke Las Vegas sebelum menaiki kapal terbang balik ke Kuala Lumpur. Emak tetap emak walau di mana kita berada. Anak perlu balik ke Nashville dan saya terpaksa membayar balik 8 jam masa yang saya dapat percuma sewaktu memasuki benua Amerika. So long Las Vegas. Kalau ada peluang saya akan ke sana menonton konsert Andrea Bocelli :)
Saya meninggalkan Los Angeles pada Jumaat jam 16:45. Perjalanan adalah lebih jauh dan transit 2 jam di Dubai sepatutnya cukup-cukup memberi saya masa bersedia mengambil penerbangan seterusnya ke KLIA. Ditakdirkan penerbangan delay lebih 2 jam dan saya ketinggalan kapal terbang di Dubai. Begitu pun saya tidak menghadapi masalah mendapatkan penerbangan seterusnya; window seat juga, layanan yang mesra, malahan diberi meal voucher untuk supper. Tepukan untuk Emirates!
Walau pun saya tiba di rumah hampir pukul 8 malam hari Ahad, peliknya saya boleh tidur dan bangun seperti biasa keesokan harinya untuk pergi bekerja. Hari Sabtu saya hilang dalam perjalanan. Saya juga tidak merasa jet lag. Hari Isnin saya berfungsi seperti biasa. Seperti saya tidak kemana-mana dua minggu sebelumnya. Tapi awas... menjelang Selasa tengahari saya seperti kehilangan arah. Saya resah dan tidak sabar menghabiskan masa bekerja. Sebaik tiba di rumah saya tidur sehingga keesokan harinya!!
Inilah gambar majlis yang membawa saya ke Amerika:
Saya akan cuba menulis entri bagi setiap tempat menarik yang saya kunjungi di US. InsyaaAllah.